Mahasisawa baru sudah mula membanjiri bumi bertuah Mesir. Sudah tentu didalam benak hati masing-masing terkandung 1001 rencana yang ingin dilakukan disini. Sudah pasti juga keazaman dan juga semangat mahasiswa baru masih segar dan utuh. Itu sudah menjadi perkara biasa. Sememangnya berada didalam suasana dan persekitaran yang baru membentuk satu ekspresi yang segar samada dalaman mahupun luaran. Tetapi apa yang diharapkan, ia tidak luntur dalam tempoh yang singkat. Belum lagi ‘panas punggung’ berada disini, janganlah macam-macam hal negatif yang kita lakukan.
Marilah sama-sama kita lihat antara perkara penting yang perlu dilakukan oleh mahasiswa baru dan beberapa nasihat untuk kebaikan bersama.
1. Perlunya mencari mahasiswa lama yang membimbing
Tertarik dengan satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Almarhum Syeikh Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi rahimahullah didalam memberikan satu formula kehidupan yang baik, perlulah adanya :
الْجَمْعُ بَيْنَ الْقَدِيْمِ الصَّالِحِ وَبِالْجَدِيْدِ النَّافِعِ
Maksudnya : “ Gabungan diantara sesuatu subjek lama yang baik dengan sesuatu subjek baru yang bermanfaat”
Diantara contoh subjek yang lama ialah mahasiswa lama. Maka, untuk menghasilkan satu natijah yang baik bagi mahasiswa baru ialah mereka perlu mencari dan berkawan dengan mahasiswa lama yang baik, soleh dan mampu menunjukkan suri teladan yang baik. Sudah pasti apabila bergabungnya mahasiswa lama yang baik dan kaya dari segi pengalaman dengan mahasiswa baru yang bermanfaat dari segi ketinggian semangat dan azam, sudah tentu akan melahirkan kombinasi yang sempurna.
Seperti itu juga ungkapan Imam Malik rahimahullah :
لَا يَصْلُحُ آخِرُ هَذِهِ الْأُمَّة إِلَّا بِمَا صَلُحَ بِهِ أَوَّلُهَا
Maksudnya : “Tidak akan berjaya umat akhir zaman ini melainkan turut juga mengikuti apa yang membuatkan berjayanya umat terdahulu”
Sebagai contoh, mahasiswa lama suda berpengalaman bagaimana cara kehidupan di Mesir dan asam garam disini. Mereka juga amat arif manakah jalan yang baik dan manakah jalan yang buruk. Mereka sudah masak dengan keperluan yang perlu ada sebagai seorang mahasiswa Islam yang dinamis. Mereka adalah orang yang berjaya disini. Maka, sepatutnya bagi mahasiswa baru memilih siapakah Al-Qadim As-Soleh tersebut. Jangan ikut contoh-contoh mahasiswa yang tidak baik disini. Ya, memang ada juga yang tidak baik disini. Bukannya jahat, tapi diri mereka tidak seperti ilmu yang mereka peroleh disini. Sebagai saranan, musyrif atau musyrifah yang dilantik diperingkat PMRAM cawangan adalah antara yang terbaik sebagai pembimbing kita disini. Mereka adalah yang diberi kepercayaan untuk menjadi Al Qadim As Soleh buat mahasiswa baru.
2. Mendampingi sahabat yang membina
Memilih sahabat yang membina sememangnya menjadi satu kewajipan kepada mahasiswa baru. Berapa ramai yang tersasar dari maksud asal hanya kerana tersalah memilih kawan. Tersebut didalam satu syair Arab yang berbunyi :
لَا تَصْحَـبِ الْكَسْلَانَ فِى حَـالَتِهِ كَـمْ مِنْ صَـالِــحٍ بِفَـسَـادِ آخَــرِ يَفْسُـدُ
Maksudnya : “ Janganlah kamu bersahabat dengan pemalas dalam hal ehwal dirinya, Sudah berapa banyak orang yang baik menjadi rosak dengan sebab rosaknya orang lain (sahabatnya)
Sahabat yang baik akan membawa sahabatnya kejalan yang baik dan begitulah sebaliknya. Sifat sebegitulah yang digambarkan didalam hadis sebagai sifat mukmin yang patut diamalkan. Sabda Rasulullah s.a.w :
الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ أَخِيْهِ إِذَا رَأَى فِيهَا عَيْبًا أَصَلَحَهُ
Maksudnya : “Seorang mukmin itu dalah cermin kepada saudaranya. Apabila dia melihat pada saudaranya sesuatu aib (kesalahan), lantas dia akan memperbaikinya” (H.R Bukhari didalam Al-Adab Al-Mufrad)
Oleh itu, pemilihan sahabat handai perlu bermula dari sekarang. Kita tidak menolak bahawa kita perlu berkawan dengan semua orang dan perlu menyebarluaskan tali silaturrahim tanpa membezakan siapa mereka. Tetapi yang dimaksudkan memilih sahabat adalah memilih siapakah yang akan sentiasa kita dampingi dan menjadi tempat luahan dikala hadirnya masalah dan menjadi tempat perkongsian kegembiraan kita.
Para alim ulama pernah menyebutkan diantara cara kita memilih kawan adalah seperti berikut:
مَنْ ذَكَّرَكُمْ بِاللهِ رُؤْيَتُهُ وَمَنْ ذَكَّرَكُمْ بِالآخِرَةِ كَلَامُهُ وَمَنْ ذَكَّرَكُمْ بِالْمَوْتِ أَعْمَالُهُ
Maksudnya : “Seseorang yang akan mengingatkan kamu kepada Allah apabila dilihat kepadanya, seseorang yang akan mengingatkan kamu kepada akhirat dari tutur bicaranya dan seseorang yang akan mengingatkan kamu kepada kematian dari amalan perbuatannya”
Memang susah hendak mencari peribadi begini. Namun, sudah pasti ada yang hampir seperti yang disebutkan.
3. Melibatkan diri dengan program persatuan
Persatuan yang menaungi mahasiswa baru adalah ibarat ibu dan bapa kepada mereka. Persatuan adalah sebagai ketua yang akan mengawal selia keadaan mahasiswa dan memberikan panduan dan tunjuk ajar kepada mereka disamping menaburkan kebajikan, kesejahteraan dan keprihatinan yang penuh. Justeru, mahasiswa-mahasiswa baru hendaklah sentiasa memberikan sepenuh komitmen kepada program-program yang dijalankan kerana persatuan dianggap sebagai ketua yang mengepalai permusafiran mahasiswa-mahasiswa kesini.
Tidakkah kita pernah mendengar satu hadis Rasulullah s.a.w yang menyebutkan :
إِذَا خَرَجَ ثَلَاثةٌ فِى سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya : “Apabila keluar 3 orang bermusafir maka lantiklah salah seorang daripadanya menjadi ketua” (H.R Abu Daud)
Baru 3 orang keluar bermusafir sahaja, Rasulullah s.a.w menganjurkan kita supaya melantik salah seorang daripadanya menjadi ketua. Inikan pula beratus-ratus mahasiswa yang bermusafir kesini sudah tentu perlunya sebuah organisasi yang mengawal selia mereka agar permusafiran yang panjang ini terjaga dan ada hala tujunya. Mereka yang lari dan tidak mahu melibatkan diri dengan persatuan sebenarnya hanya beralasan tidak mahu mengganggu pelajaran dan konsentrasi belajar. Sebenarnya alasan itu hanyalah menjadi senjata utama mahu meminggirkan diri menjadi kera sumbang yang akhirnya diri sendiri terjebak dalam kancah kegagalan mengawal diri. Janganlah mencipta alasan yang baik hanya kerana kemalasan diri sendiri.
4. Menerima keadaan sebenar Mesir
Mahasiswa baru yang hadir ke Mesir perlulah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang benar-benar indah khabar dari rupa barangkali. Sudah tentu mahasiswa menggambarkan pelbagai keindahan dan keseronokan sebelum tiba disini. Apabila hadir dan bermu`ayasyah disini, tahulah bagaimana sikap dan perangai orang Arab Mesir serta keadaan bumi Mesir sendiri.
Mahasiswa baru perlu pujuk hati supaya tidak mengalami kejutan budaya di sini. Pujuk hati dengan kehebatan para alim ulama’ Mesir yang sememangnya tiada tolok bandingannya di dunia ini. Hanya itu sahaja yang dirasakan mengapa para ilmuan Islam menjadikan Al Azhar sebagai kiblat mereka dalam bidang ilmu. Sehinggakan musuh-musuh Islam amat menggeruni kehebatan Al-Azhar didalam menghasilkan ilmuan dan aktivis yang menggugah kebatilan mereka. William Ewart Gladstone, salah seorang Perdana Menteri United Kingdom satu ketika dahulu pernah berkata : “Terdapat 4 halangan yang merintangi hadapan kita didalam memerangi Islam ; Al Quran, Kaabah, Al Azhar dan Solat Jumaat”
Jadi, cukuplah kehebatan Al Azhar itu sebagai pemujuk hati kita agar terus menggagahi menetapkan diri dan hati cekal agar terus menuntut ilmu disini. Ada sahaja saban tahun beberapa orang yang tidak tahan hidup disini, akhirnya pulang kembali ke Malaysia. Jadilah anak jantan, pantang undur sebelum berhadapan!!.
No comments:
Post a Comment