Pada 10 hari yang terakhir didalam bulan Ramadhan ini, kita sering diingatkan dengan satu malam, iaitu malam yang menyamai 1000 bulan. Pastinya akan muncul ramai pemburu- pemburu Lailatul Qadar di 10 malam yang terkahir ini. Sabda Rasulullah s.a.w :
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya : “Rebutlah malam Al-Qadr pada 10 terakhir daripada bulan Ramadhan” (H.R. Bukhari)
Barangsiapa beribadah pada malam tersebut, maka akan tercatat amalannya seumpama dia melakukan amalan selama 1000 bulan. Maha Agung dan Maha Kasih Allah s.w.t. yang menganugerahkan hadiah sebegini untuk diraih oleh umat Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita semua melipatgandakan amalan kita di penghujung Ramadhan ini dan seterusnya pada bulan-bulan yang lain.
Marilah bersama-sama kita mengimbas kembali sejarah generasi terdahulu dimana hidup mereka penuh dengan amalan kebaikan dan tunduk patuh kepada perintah Allah. Mereka melakukan kewajipan jihad, sebagaimana mereka melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan.
Apa yang ingin dikongsikan kali ini ialah tentang satu peristiwa yang agung dalam peradaban Islam. Peristiwa di mana umat Islam bersatu menentang tentera Tartar dari Mongolia dan mengalahkan mereka. Peristiwa kemenangan ini berlaku tanggal Jumaat 25 Ramadhan 658H. Kemenangan ini merupakan satu keajaiban kerana berjaya menidakkan kebiadapan dan kerakusan tentera Mongol yang akan menjajahi segala apa yang mereka lalui dari timur ke barat. Akhirnya kemaraan mereka ditamatkan oleh tentera- tentera Allah di Ain Jalut.
Empayar Mongol diasaskan oleh Genghis Khan pada abad ke-13 M. Genghis Khan bercita- cita untuk meluaskan empayarnya dari timur ke barat dan meranapkan apa sahaja yang menghalang mereka dari mencapai cita- cita tersebut. Mereka bermula dengan menakluki beberapa negara di sekitar Mongolia dan mereka terus mara ke sebelah timur yang dikuasai oleh umat Islam. Malangnya cita- cita Genghis Khan untuk melihat empayarnya terbentang luas dari timur ke barat tidak kesampaian apabila nyawanya telah dicabut oleh Allah s.w.t, setelah beliau jatuh dari kuda tunggangannya. Namun begitu, pada 1251M, Hulagu Khan iaitu cucu kepada Genghis Khan setelah dilantik menjadi pewaris takhta empayar Mongol, berjanji untuk meneruskan cita- cita datuknya untuk menguasai seluruh penjuru dunia.
Bagi merealisasikan impian ini, Hulagu Khan mengumpul kekuatan tenteranya selama 2 tahun sebelum melancarkan serangan ke atas umat Islam yang bernaung di bawah Khilafah Abasiyyah. Pada tahun 1253M, Hulagu Khan mula melakukan ekspedisi penaklukan ke atas wilayah Khilafah Abasiyyah. Tentera yang telah menakluk 200 kota dalam masa hanya 2 tahun ini dan mampu bergerak sejauh 100 batu dalam masa satu hari serta memiliki peralatan peperangan yang canggih, hasil daripada kepakaran jurutera-jurutera perang mereka. Akhirnya mereka telah berjaya menewaskan tentera Khilafah Abbasiyyah. Akhirnya pada tahun 1258M, Baghdad yang menjadi ibu kota Khilafah Abasiyyah jatuh ke tangan tentera Tartar.
Kejatuhan Baghdad merupakan satu peristiwa yang sangat tragis dalam sejarah umat manusia. Setelah berjaya mengalahkan tentera-tentera Khilafah Abbasiyyah, tentera Monggol dengan biadapnya membunuh ratusan ribu kaum muslimin yang berada di kota Baghdad. Juga tidak ketinggalan, Khalifah umat Islam turut dibunuh dengan kejam. Tidak cukup dengan itu, tentera Tartar yang biadap ini memusnahkan banyak kitab-kitab karangan para alim ulama’ di Baghdad dengan mencampakkannya ke dalam Sungai Dajlah sehingga air sungai itu bertukar kehitaman akibat dakwat yang luntur dari kitab-kitab tersebut.
Diringkaskan cerita, tentera rakus ini ingin pula menakluk Mesir yang ketika itu dibawah kekuasaan seorang Sultan hebat bernama Saifuddin Qutuz. Saifuddin Qutuz mula mengumpulkan tenteranya dan akhirnya tenteranya mencecah seramai 20 000 orang tentera. Beliau melakukan mesyuarat dan termasuk daripada salah seorang ahli mesyuaratnya adalah Izzuddin bin Abdul As-Salam, yang digelar Sulthonul `ulama. Akhirnya mereka memutuskan untuk meyerang tentera Mongol di luar Mesir. Tentera-tentera Allah ini mula bergerak ke luar kota Mesir menuju ke arah Palestin dan bertembung dengan tentera Tartar di satu tempat bernama Ain Jalut. Maka berlakulah peperangan yang amat dahsyat antara kedua- dua belah pihak. Semasa peperangan sedang sengit berlaku, Saifuddin Qutuz membuka topeng besinya dan menunggang kuda menuju ke tengah medan pertempuran dan memberi motivasi kepada tenteranya agar berjuang habis-habisan dan memburu syurga Allah s.w.t. Beliau bertakbir beberapa kali dan terus meluru ketengah-tengah musuh.
Semasa perang Ain Jalut, isteri Sultan Saifudin Qutuz, iaitu Jullanar turut menyertainya. Ketika Jullanar sedang nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata : “Wahai Kekasihku”. Jullanar membalas dengan berkata : “Wahai Saifuddin, lebihkan kasih kamu terhadap Islam”. Setelah itu, Saifuddin Qutuz terus mara ke medan tempur dan akhirnya pada hari Jumaat, 25 Ramadhan 658H, bersamaan dengan 3 September 1260M tentera- tentera Allah ini telah memperoleh kemenangan ke atas tentera Tartar di Ain Jalut. Tentera Tartar yang tidak pernah kalahkan ini, akhirnya tersungkur dihadapan mata pedang kaum muslimin di Ain Jalut.
Apa yang ingin disampaikan disini bukanlah hanya peristiwa sejarah semata-mata. Tetapi yang lebih utama ialah supaya kita semua mengambil ibrah daripada peristiwa yang berlaku. Sekiranya Sultan Saifuddin Qutuz bersama- sama dengan tenteranya sejumlah 20 000 orang mara kehadapan menentang satu ketumbukan tentera yang tak pernah kalah di bulan Ramadhan.
Sepatutnya ia sudah cukup memberi isyarat kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan yang hanya semata- mata bulan ruhiyyah semata- mata, tetapi juga merupakan bulan siasah (politik) dan bulan jihad. Ketaatan dan kepatuhan kita menunaikan ibadah puasa sepatutnya sama dengan kepada ketaatan dan kepatuhan kita untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam, termasuklah jihad dalam menghadapi musuh-musuh Allah.
Moga pahlawan Qutuz ada penggantinya.
rujukan maklumat : http://www.islamstory.com
No comments:
Post a Comment