Sunday 5 September 2010

Beruntunglah Para Aktivis Islam

Aktivis Islam berpuasa sepanjang masa!!

Madrasah Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Setelah berhempas pulas dan berpenat lelah selama sebulan, menahan diri daripada tipu daya nafsu dan syahwat, sudah tentu setiap muslim yang beriman dengan balasan yang dijanjikan Allah s.w.t. mendambakan keputusan yang cemerlang yang akan menjanjikan jolokan muttaqin bagi setiap graduan madrasah ini. Sebagaimana yang Allah s.w.t. janjikan didalam firmanNya :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan keatas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah : 183)

Maka amat malang dan rugilah golongan-golongan yang tidak menggunakan kesempatan yang terbaik ini. Bahkan umat Islam seharusnya khuatir dan risau, dengan kelalaian dan kealpaan mereka lantas membiarkan madrasah pentarbiahan Ramadhan berlalu tanpa ada apa-apa erti dan nilai. Tidakkah kita perlu menginsafi akan sabda junjungan Baginda Nabi s.a.w :

اءَنِي جِبْرِيلُ عَلَيهِ السَّلام فَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ مَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ دَخَلَ النَارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ وَأَسْحَقَهُ فَقُلْتُ آمِين)

(كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ)

Maksudnya : “Telah datang kepadaku Jibril a.s. lalu memberitahuku bahawa barangsiapa yang sampai padanya Ramadhan, namun tidak juga diampunkan, dia akan memasuki neraka serta dia akan dijauhkan dan dipencilkan oleh Allah s.w.t. Lalu aku berkata : “Aamiin” (H.R. At-Thabrani)

“Berapa ramai yang berpuasa, tiadalah keuntungan baginya daripada puasanya itu melainkan lapar sahaja” (H.R. Imam Ahmad)

Maka, hari yang berbaki didalam bulan Ramadhan ini seharusnya digunakan sebaik-baiknya dengan mencergaskan diri bersama ibadah dan amalan sewajarnya dibulan Ramadhan. Kalaulah kita lalai dan leka di awal Ramadhan tahun ini, namun rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. melaut luasnya. Berputus asa bukanlah akhlak kita selaku muslim. Selagi masih ada peluang dan ruang, ia akan direbut dengan penuh semangat juang.

MEREBUT BALASAN RAMADHAN DI LUAR RAMADHAN

Menginginkan Ramadhan setiap masa adalah satu perkara mustahil. Kalaulah boleh berlaku sedemikian, sudah pasti para pencinta syurga akan mengidamkannya. Seperti itulah ungkapan Rasulullah s.a.w :

لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي رَمَضَانَ لَتَمَنَّتْ أُمَّتِي أَنْ تَكُونَ السَّنَةُ كُلُّهَا رَمَضَانَ

Maksudnya : “Sekiranya para manusia mengetahui apakah kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan, nescaya umatku akan menginginkan seluruh tahun itu semuanya adalah Ramadhan” (H.R. Abu Ya’la)

Jadi, bagaimana kita ingin mendapat kelebihan itu semula disepanjang tahun?. Bolehkah? Disana ada satu cara yang saya rasakan ia adalah salah satu kelebihan yang boleh kita gunakan untuk mendapat ganjaran seolah-olah kita berada di bulan Ramadhan.

Puasa didalam bahasa arab ialah (الصوم). Dari segi bahasa ia bermaksud الإمساك والإمتناع والكف)) iaitu penahanan, larangan dan penghalangan. Maksud berpuasa dari segi syara’ secara ringkasnya ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari. Apabila kita boleh memahami maksud dari segi bahasa dan syara’ maka, kita boleh mendapat satu jawapan kepada persoalan yang bermain diminda kita.


CARA PERTAMA : BEKERJA UNTUK ISLAM SEPANJANG MASA

Apabila puasa itu adalah menahan diri, maka perbuatan menahan diri itu boleh dilakukan disetiap ketika dan waktu tanpa batasan. Umat Islam seharusnya menyedari bahawa, menahan diri daripada tidak mengikut aturan Allah adalah diantara dan menahan diri daripada melakukan tegah larang Allah s.w.t. adalah termasuk didalam makna (الصوم) iaitu menahan diri الإمساك والإمتناع والكف)).

Satu analogi lain boleh dibuat disini. Berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :

لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya : Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum disisi Allah berbanding bau kasturi”

Seseorang aktivis Islam yang kuat komitmennya untuk Islam sudah pasti akan berhadapan dengan pelbagai situasi yang memerlukan mereka ‘menahan diri’. Mereka perlu menahan diri didalam seluruh kehidupan mereka. Menahan masa gembira mereka untuk kepentingan kegembiraan orang lain, menahan duit, pekin berbelanja untuk digunakan sepenuhnya didalam gerak kerja mereka hingga keperluan diri sendiri hanya sekadarnya.

Orang lain sungguh seronok berjalan kesana-sini akan tetapi para aktivis Islam terpaksa menahan diri mereka berbuat demikian oleh kerana ada aulawiyat lain yang menuntut mereka terjun ke medan. Semua itu memerlukan kesabaran yang cukup ampuh. Amat bertuahlah bagi mereka-mereka yang dipilih Allah s.w.t. melakukan kerja Islam!!!.

Apabila perasaan hati aktivis Islam itu tertahan kerana Allah, hati mereka lebih wangi disisi Allah kerana hati mereka sedang berpuasa. Tangan-tangan yang tertahan melayani keseronokan kerana melakukan gerak kerja Islam, maka tangan mereka lebih wangi daripada kasturi disisi Allah kerana tangan mereka sedang berpuasa. Begitulah juga seluruh batang tubuh mereka tertahan dengan pelbagai nikmat, masa, keinginan dan keseronokan hanya semata-mata berkorban kerana perjuangan Islam maka seluruh segi badan mereka adalah lebih wangi dan berharga disisi Allah s.w.t. berbanding segala-galanya.


CARA KEDUA : SUBURKAN SIFAT SABAR

Menahan diri didalam perkara yang disebutkan diatas adala satu latihan yang akan melahirkan sifat sabar didalam diri. Mana tidaknya, didalam merealisasikan perkara taat dan meninggalkan perkara syahwat sudah pasti adanya kesabaran melakukan, ketahanan daripada terjebak kepada larangan dan sebagainya. Semua itu adalah sabar. Al Imam Al Habib Abdullah bin Alwi Al Haddad di dalam kitabnya An-Nasoih Ad-Diniyyah wa Al-Wasaaya Al-Imaniyyah telah membahagikan sifat sabar ini kepada empat bahagian :

1. Sabar di dalam melaksanakan ketaatan sewaktu beribadat kepada Allah s.w.t.

2. Sabar terhadap perkara-perkara maksiat

3. Sabar terhadap perkara-perkara yang tidak diingini (musibah)

4. Sabar terhadap hawa nafsu

Jika diteliti secara tidak langsung, orang-orang yang berjaya berpuasa di bulan Ramadhan dengan ganjaran yang amat hebat dan berganda dari Allah s.w.t. juga boleh mengulangi kejayaannya dengan menahan diri melakukan taat dan menahan diri daripada terjebak kepada maksiat yang akan melahirkan sifat sabar. Sifat sabar menjanjikan ganjaran yang amat besar disisi Allah s.w.t. dengan firmanNya :

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”

Sepertimana ganjaran puasa tidak dapat diketahui nilainya melainkan Allah s.w.t. seperti itu juga ganjaran bagi orang-orang yang bersabar tidak terkira nilainya disisi Allah s.w.t. Ia adalah persamaan yang mungkin tidak kita sedari tetapi betapa besar nikmat Allah s.w.t. yang dianugerahkan kepada hamba-hambanya. Sudah menjadi sunnatullah, mehnah dan tribulasi akan sentiasa menghujani bagi mereka-mereka yang berada dijalan perjuangan dakwah kepada Allah s.w.t.

Mari kata tanyakan diri sendiri. Adakah kita berada di jalan ini?. Bergembiralah wahai pejuang pilihan Allah!!! Kamu ber’puasa’ sepanjang masa!!.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails