Medan tarbiah Ramadhan selayaknya digunakan sepenuhnya untuk mempertingkatkan semangat jihad dan keberanian menghadapi tekanan musuh yang sentiasa menghujani jalan-jalan seseorang aktivis Islam yang ikhlas dijalan dakwah. Mana tidaknya, Ramadhan sudah banyak melakarkan coretan dan lakaran warna-warni perjuangan hebat lagi agung yang telah memuliakan Islam ditatas segala-galanya. Antara lembaran memori perjuangan yang boleh disingkap kembali didalam bulan yang mulia ini ialah peristiwa peperangan Badar al-Kubra.
Peperangan Badar adalah peperangan yang menjurangkan antara kebenaran dan kebenaran, memisahkan antara cahaya dan kegelapan serta membezakan antara iman dan kekufuran. Oleh kerana itulah ia juga disebut oleh Allah s.w.t. sebagai yaum al-Furqan ( Hari Pemisah) di dalam firmanNya :
وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ إِنْ كُنْتُمْ آمَنْتُمْ بِاللَّهِ وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَى عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Dan ketahuilah, Bahawa apa sahaja Yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka Sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir Yang keputusan bekalan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa Yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Anfal : 41)
Peperangan Badar al-Kubra ini berlaku pada tahun ke 2 hijrah selepas Rasulullah s.a.w diangkat menjadi pemerintah negara Islam Madinah. Keberangkatan satria-satria Islam seramai 313 orang yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w menuju ke sebuah tempat yang bernama Badar benar-benar mengusik jiwa sesiapa sahaja yang berada dikalangan mereka. Kekuatan tentera musuh yang jauh lebih besar seramai 1000 orang serta lengkap dengan peralatan peperangan sudah cukup menggerunkan. Kalau ikutkan akal, kerja ini adalah kerja gila. Namun Islam bukanlah agama yang mengajar umatnya mendahulukan akal dan pertimbangan logik. Tetapi Islam mengajar wahyu dan panduan Allah itu adalah yang paling utama dari segala-galanya. Pernah Saidina Ali karramallahu wajhah menyebutkan :
لَوْ كَانَ اَلدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ اَلْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ
Maksudnya : “Kalaulah agama itu mengikut kepada logik akal, maka kawasan bawah khuf itu lebih utama untuk disapu daripada kawasan atasnya”. (H.R Abu Daud)
Sebab itulah didalam peperangan ini ada beberapa noktah penting sebagai iktibar yang perlu sentiasa dijadikan sumber panduan bagi menambahkan keyakinan kita kepada janji Allah s.w.t.
Pertama, kualiti aktivis Islam lebih utama daripada aspek kuantiti dan menjadi awlawiyat (keutamaan) untuk membentuk kualiti aktivis Islam. Ketika Perang Badar, Rasulullah s.a.w beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat (terdiri dari 82 Muhajirin, 61 dari suku Aus dan 170 dari suku Kharaj) serta pasukan kaum muslimin hanya memiliki dua ekor kuda dan 70 ekor unta, bahkan satu ekor dinaiki sampai dua hingga tiga orang.
Ini merupakan janji Allah s.w.t kepada aktivis-aktivis yang berjuang dijalan Allah. Usah dinilai risiko dan natijah yang akan dihadapi, tetapi nilailah perjuangan dan pengorbanan yang kita berikan untuk Islam. Oleh kerana iman yang begitu mantap mempercayai janji-janji Allah serta keazaman yang tinggi didalam menidakkan syirik kepada Allah maka satria-satria Badar mara dan terus mara lantas kemenangan berada didalam genggaman mereka. Maha benarlah firman Allah s.w.t :
كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ
Maksudnya : “Berapa banyak pasukan yang sedikit jumlahnya mengalahkan pasukan yang ramai dengan izin Allah” (Al-Baqarah : 249)
Kedua, peranan doa yang diajarkan oleh baginda menjadi teras dan pemangkin sebelum sesuatu tindakan dibuat terutama didalam gerakan dakwah. Ia bertujuan untuk mendapatkan keredhaan dan restu Allah s.w.t. Disaat getir yang melanda tentera Islam ketika itu yang terpaksa berhadapan pihak kekufuran yang jauh lebih besar, Baginda Nabi s.a.w. berdoa menadah tangan kepada Allah s.w.t. seraya berdoa :
اللهُمَّ أَيْنَ ما وَعَدْتَنِي، اللهُمَّ أَنْجِزْ لِي ما وَعَدْتَنِي، اللهُمَّ إِنْ تَهْلِكُ هذِه العصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الإِسْلامِ فلا تَعْبُدُ في الأَرْضِ أَبَدًا
Maksudnya : “ Ya Allah!! Dimanakah janjiMu yang telah dijanjikan kepadaku, Ya Allah!! Tunaikanlah janjiMu kepada ku, Ya Allah!! Sekiranya Engkau menghancurkan kelompok ini daripada kalangan orang Islam maka Engkau tidak akan disembah selama-lamanya diatas muka bumi ini!!”.
Oleh kerana seruan dan pengharapan ikhlas daripada Rasulullah s.a.w. maka Allah s.w.t. memperkenankan doa Baginda lantas pejuang-pejuang Allah dari langit membantu memerangi tentera kafir. Firman Allah s.w.t :
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلائِكَةِ مُرْدِفِينَ
Maksudnya : “Ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu Dengan seribu (bala tentera) dari malaikat Yang datang berturut-turut” (Al-Anfal : 9)
Maka menjadi kewajipan kepada aktivis Islam supaya sentiasa meletakkan pengharapan dan pergantungan kepada Allah dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini adalah sebagai ikatan yang kuat antara kita dan juga Allah s.w.t sebagai sumber inspirasi dan motivasi agung yang tidak dimiliki oleh kaum kafir sebagaimana firmanNya :
وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya : “Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) didalam memburu musuh (yang menceroboh) itu, kerana sekiranya kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka juga menderita sakit seperti penderitaan kamu, akan tetapi kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana” (An-Nisa’ : 104)
Ketiga, menjauhi syahwat dan nafsu adalah ramuan mujarab didalam mencergaskan badan dan meningkatkan tenaga lahiriah dan dalaman. Walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan Badar, ia sedikitpun tidak menghalang umat Islam daripada terus berjuang dengan penuh bertenaga walaupun dalam keadaan berpuasa. Abu Said Al Khudri r.a meriwayatkan :
كنَّا نَغْزُو مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في رَمَضَانَ فَمِنَّا الصَائِمُ وَمِنَّا الْمُفْطِر
Maksudnya : “Adalah kami telah berperang bersama Rasulillah s.a.w pada bulan Ramadhan, sebahagian daripada kami berpuasa dan sebahagian yang lain pula berbuka” (H.R Ibnu Hibban)
Turut diriwayatkan athar daripada Umar bin al-Khattab r.a, katanya:
“Kami berperang bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada bulan Ramadhan sebanyak dua kali, iaitu: Badr dan Fath, lalu kami berbuka dalam kedua-dua peristiwa itu”. (Zaad al-Maad)
Maka bulan Ramadhan sebenarnya adalah bulan berjihad dan bulan berdakwah dan bukannya bulan yang meletihkan dan penuh dengan keluh kesah. Para aktivis Islam juga sudah tentu perlu sentiasa menyucikan syahwat dan nafsu mereka agar tenaga keperwiraan tentera Badar turut juga menyelirat didalam tubuh.
Keempat, mesyuarat dan perbincangan sesama aktivis Islam menjadi formula utama didalam gerakan Islam. Bagi menentukan nasib para tawanan kafir yang berjumlah seramai 70 orang, Baginda s.a.w meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar Al-Khattab untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Saidina Abu Bakar r.a menyatakan pandangannya bahawa setiap seorang daripada mereka mengajar sepuluh anak orang Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, agar kesemua mereka hingga berjumlah 700 anak orang-orang Islam menjadi pandai dan celik ilmu, inilah juga pandangan peribadi Rasulullah s.a.w. Walaubagaimanapun, Saidina Umar r.a tidak bersetuju dengan pandangan itu. Beliau mencadangkan agar setiap mereka itu dibunuh sahaja kerana mereka adalah penyebab kepada masalah syirik dan penentangan terhadap ajaran-ajaran Rasulullah.
Rasulullah tidak dapat berkata apa-apa terhadap dua pandangan yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain, namun pada malam itu baginda menerima turunnya wahyu Ilahi agar kesemua tawanan itu dihapuskan dari muka bumi ini,sesuai dengan pandangan Saidina Umar Al-Khattab r.a. Firman Allah s.w.t :
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : “Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai (menyimpan) tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu mengharapkan harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat untukmu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Anfal : 67)
No comments:
Post a Comment