ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN
Asas yang kedua : Islam yang tidak dikurangkan daripadanya. Asas kedua yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Yusuf Al-Qardawi ini menjadi isyarat kepada kewajipan kita menerima Islam secara syumul dan keseluruhannya tanpa menjuzuk-juzukkan Islam. Cuba kita perhatikan zaman sekarang, ada yang Islamnya hanya dari aspek akidah tanpa ibadah. Ada pula yang Islam yang hanya ingin beribadah tanpa menghiraukan kepentingan akhlak, dan ada pula yang hanya menganggap cukuplah baginya berakhlak baik tanpa perlu melakukan ibadah.
Syeikh Yusuf Al-Qardawi mengatakan, “ Satu masalah yang berlaku kepada kebanyakan orang Islam zaman sekarang ialah mereka menjuzuk-juzukkan Islam. Seolah-olah mereka menjadikan Islam itu seperti daging diatas papan pemotong, lalu mereka memegang pisau untuk memotong bahagian-bahagian yang diinginkan”.
Memang benar apa yang disebutkan dan itulah realitinya. Apa yang boleh kita simpulkan disini, kebanyakan negara-negara orang Islam termasuk Malaysia yang kita cintai, menginginkan Islam dari aspek ibadah sahaja tanpa melaksanakan syariah islamiyyah yang sebenar. Tiada larangan untuk rakyat mendirikan solat, berpuasa, meraikan perayaan dan sebagainya. Namun, amat malang sekali apabila mahu ditegakkan Islam didalam kehidupan atau meletakkan satu etika bermasyarakat yang Islamik, maka perkara ini akan ditolak. Bagaimana mereka boleh beriman dengan ayat-ayat Al-Quran mengenai solat, puasa, zakat dan perkara-perkara lain dalam ibadah tetapi meninggalkan jauh ayat-ayat Al-Quran berkaitan system perundangan, kehakiman dan sebagainya?. Pelik manusia begini. Inilah perlakuan kotor Bani Israel terhadap Allah s.w.t. lantas dikeji olehNya didalam firmanNya :
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ
Maksudnya : “Adakah kamu mahu beriman dengan sebahagian kitab dan kamu mengingkari sebahagian yang lain”. ( Al-Baqarah : 85 )
Islam yang kita perjuangkan adalah Islam yang syumul dan menyeluruh dari segenap aspek dan ruang. Itulah yang dituntut oleh Allah s.w.t. kepada hambanya. Firman Allah Taala :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beiman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata”. ( Al-Baqarah : 208 )
Allah s.w.t. juga berfirman :
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu berhukum antara mereka dengan apa yang telah Allah tetapkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu daripada mereka yang akan memalingkan kamu daripada sebahagian yang telah Allah tetapkan”. (Al-Maidah : 49 )
Jelas menunjukkan Islam tidak menerima sekiranya 50 % Islam dan 50% bukan Islam. Contoh mudah yang boleh disebutkan. Sekiranya kita pergi ke sebuah klinik kerana merawat sakit tertentu, lalu doktor mengatakan, “ Ubat A kamu makan sebelum daripada menyantap apa-apa makanan dan ubat B kamu makan selepas daripada santapan. Ubat C pula dimakan pada waktu malam sebelum tidur”. Adakah kita boleh dan ingin mengatakan, “ Saya tidak mahu ubat B dan C. Saya nak ubat A sahaja”. Sudah pasti kita menerima 100% apa yang disebutkan doktor tersebut kerana ingin sembuh. Begitulah halnya kita manusia. Allah s.w.t. telah memberikan ubat dan kaedah penyembuhan yang sangat berkesan, namun manusia tidak mahu sebahagian daripadanya. Sampai bila penyakit umat Islam akan sembuh? Ya Allah..
Al Imam Al Ghazali rahimahullah pernah menyebutkan satu kisah berkaitan 3 orang buta yang berbalah sesama mereka akan rupa bentuk keadaan gajah yang sebenarnya. Orang buta pertama pergi kepada seekor gajah lalu menyentuh gadingnya seraya berkata, “ Gajah adalah seekor binatang seperti tulang yang runcing dihujungnya”. Orang buta kedua pula memegang perut gajah lalu berkata, “ Gajah sebenarnya adalah binatang yang besar dan kasar serta rata bentuknya”. Orang buta ketiga memegang belalai gajah dengan yakinnya berkata, “ Gajah itu sebenarnya adalah seekor binatang yang memanjang dan lembik”. Hakikatnya, gajah adalah kesemua yang telah disebutkan oleh ketiga-tiga mereka. Tidak boleh hanya sekadar melihat dari aspek yang juz`i lantas mendakwa itulah Islam.
Kesimpulannya, marilah bersama kita mentadabbur kata-kata As-Syahid Mujaddid Hasan Al-Banna didalam Risalah At-Ta’limnya yang menyebutkan bahawa :
الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة, وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة, وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء, وهو مادة أو كسب وغنى, وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة, كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء
Islam itu adalah system hidup yang syumul, mencakupi seluruh bidang kehidupan iaitu :
I. Negara dan tanahair atau kerajaan dan umat
II. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan
III. Kebudayaan dan undan-undang atau ilmu dan kehakiman
IV. Material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan
V. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah
VI. Akidah yang benar dan ibadah yang sahih
akan bersambung...
No comments:
Post a Comment