ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN
Asas yang keempat : Islam yang tidak tersasar dari pertimbangannya. Di dalam Islam adanya pertimbangan-pertimbangan yang berbeza mengikut keadaan, masa dan tempat. Ini menjadi bukti benar didalam menyatakan bahawa Islam bersifat murunah, iaitu fleksibel didalam menghadapi apa saja situasi umat. Islam bukan sahaja satu agama yang sesuai pada zaman dahulu, bahkan pada masa akan datang dan sehinggalah ke akhir zaman, ia tetap menyinari alam ini.
Setiap satu amal (pekerjaan) didalam Islam mempunyai kadar dan juga kedudukan yang tertentu yang telah ditentukan oleh syara’. Oleh itu, sebagai seorang muslim hendaklah meletakkan amal-amal tersebut mengikut martabat dan kedudukan yang perlu diutamakan. Ini kerana, supaya kita mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan dan kita mengkemudiankan apa yang sepatutnya dikemudiankan.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، أَنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم خَطَبَ النَّاسَ ، فَقَالَ : إِنَّ الله ، عَزَّ وَجَلَّ ، قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ ، إِنَّ الله عَزَّ وَجَلَّ قد فَرَضَ فَرَائِضَ ، وَسَنَّ سُنَنًا ، وَحَدَّ حُدُودًا ، فَأَحَلَّ حَلاَلاً ، وَحَرَّمَ حَرَامًا ، وَشَرَعَ الإِسْلاَمَ فَجَعَلَهُ سَهْلاً وَاسِعًا ، وَلَمْ يَجْعَلْهُ ضَيِّقًا
Maksudnya : “ Daripada Ibnu Abbas katanya, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan khutbah kepada manusia dengan sabdanya : “ Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla telah memberikan setiap sesuatu mempunyai haknya yang tersendiri, sesungguhnya Dia telah memfardhukan yang fardhu, Dia jugalah yang menggalakkan perkara-perkara sunat, menetapkan batasan had sesuatu, menghalalkan yang halal, mengharamkan yang haram dan telah mensyariatkan Islam dan menjadikan Islam itu mudah dan luas dan tidak pula Allah menjadikannya sempit”. ( H.R. Abu Ya’la )
Inilah Islam yang kita dokongi. Islam yang sentiasa meletakkan keutamaan didalam lapangan amal. Sebagai contoh, disana ada amal yang harus, sunat dan wajib. Maka, seharusnya bagi muslim untuk mendahulukan serta menyempurnakan perkara wajib sebelum perkara-perkara yang lain. Di dalam perkara wajib juga ada martabatnya. Ada yang fardhu ain dan ada yang fardhu kifayah. Maka keutamaan amal perlu diberikan kepada perkara fardhu ain.
Seperti itu juga dalam perkara mungkar dan dosa. Ada yang kecil dan ada yang besar. Maka dosa yang besar terlebih utama untuk kita jauhi dan mencegahnya daripada yang lain. Sebab itu gerakan-gerakan Islam memfokuskan kepada pencegahan al-munkar al-akbar iaitu menghapuskan pemikiran jahiliah didalam pemikiran manusia dan perbuatan mereka. Nasionalisme. sekularisme, liberalism dan pemikiran-pemikiran jahiliah yang lain adalah terlebih utama untuk dihapuskan. Oleh kerana itu juga kita tidak boleh berbalah dalam perkara-perkara yang khilaf dan furu’ kerana perkara tersebut akan menghilangkan fokus kepada yang lebih utama.
Lihat sahaja perjuangan Rasulullah s.a.w. pada ketika Baginda di Mekah. Selama 13 tahun disana, Rasulullah s.a.w. memfokuskan kepada penyucian akidah, pencerahan iman kepada tuhan yang esa iaitu Allah Taala, supaya mereka tunduk dan patuh kepada hukum dan ketetapan Allah s.w.t. Begitu juga zaman sekarang, Jahiliah Moden telah menyerang umat Islam. Ayuh kita memikul tugas dan amanah hebat tinggalan Rasulullah s.a.w. dalam menghapuskan jahiliah ini.
No comments:
Post a Comment