Saturday 31 July 2010

ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN


ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN


Era akhir zaman kini menyaksikan Islam menjadi satu perbincangan dan topik hangat yang ingin disentuh oleh semua lapisan masyarakat samada golongan tua mahupun muda, muslim mahupun non-muslim, samada perbincangan yang memuliakan dan meninggikan Islam ataupun perbincangan untuk menjatuhkan dan memburuk-burukkan agama Islam. Senario ini jelas menjadi satu cabaran kepada pendokong dan mata rantai perjuangan Islam, untuk memurnikan kembali keadaan dan mencerahkan kembali kegelapan yang timbul natijah daripada pelbagai salah faham dan momokan fitnah yang dilemparkan terhadap Islam. Amat benarlah sabda Rasulullah s.a.w. :

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya : “Hampir tiba di satu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Salah seorang sahabat bertanya, “ Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?”. Nabi menjawab, “ Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali tetapi kamu seumpama buih di waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahn”. Seorang sahabat bertanya: “ Apakah wahn itu wahai Rasulullah?”. Nabi menjawab : “ Cinta pada dunia dan takut pula untuk mati”. (H.R. Abu Daud)


Ya. Kelemahan umat Islam adalah faktor utama Islam semakin ditindas. Lihat sahaja di negara kita Malaysia. Sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin yang beragama Islam, namun masa depan Islam sejak kita merdeka hingga sekarang, makin malap sinarnya. 53 tahun kita merdeka sudah cukup lama untuk mereka menjulang Islam sekiranya ada gerak usaha dan benar-benar serius untuk membangunkan Islam. Namun, keadaan umat Islam Malaysia kini semakin merisaukan dengan gejala-gejala yang merosakkan akidah, hiburan yang melampau, arak dan zina yang amat membimbangkan serta seribu satu warna-warna kotor yang menconteng lakaran Islam yang indah dan suci. Ya Allah…


ISLAM YANG DIIMPIKAN OLEH PENJILAT SEKULAR


Penjilat-penjilat sekular sememangnya menginginkan Islam itu hanya sekadar ISLAM WARISAN. Seorang muslim yang lahir dari ibu bapanya yang muslim, lantas namanya adalah melambangkan seorang muslim, namun tiada langsung didalam diri dan kehidupannya kesedaran beragama Islam serta kewajipannya sebagai seorang muslim. Sememangnya serangan pemikiran sekular telah meresap kedalam benak hati umat islam kini. Mereka telah berjaya dan menang dalam pertempuran ini. Walaupun ramai yang beragama Islam, akan tetapi cara hidupnya adalah seperti bukan Islam bahkan lebih teruk dari itu.


Para penjilat sekular juga mengimpikan Islam itu hanyalah terbatas sekadar di masjid-masjid dan tidak lebih dari itu. Apabila di masjid, masing-masing membuat hal masing-masing dengan Allah, dengan ibadah solat dan doa akan tetapi tiada langsung memikirkan masalah umat Islam sejagat. Gerak geri didalam solat sudah menggambarkan Islam, namun amat sedih tindak tanduk dan cara fikirnya apabila keluar daripada masjid menyimpang dan menidakkan ajaran Islam. Sekali lagi musuh Islam menang besar dalam medan pertempuran ini.


Bukan ini Islam yang diimpikan. Islam yang sebenar membawa rahmat dan berkat. Islam yang mengundang kasih sayang dan pengampunan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ


ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN


Syeikhul Islam Doktor Yusuf Al-Qardawi menyebutkan, “ Islam yang kita perjuangkan adalah Islam yang suci dan bersih, yang tidak ditokok tambah keatasnya, tidak pula dikurangi daripadanya, tidak diputarbelitkan Islam itu serta Islam yang tidak tersasar dari pertimbangannya”. Inilah empat asas utama Islam tulen yang perlu diperjuangkan dan diamalkan oleh semua muslim.


Asas yang pertama : Islam yang tidak ditokok tambah keatasnya. Islam sudah sempurna dan lengkap didalam menyelesaikan seluruh permasalahan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan urus tadbir manusia daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Firman Allah s.w.t. :


الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا


Maksudnya : “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agamamu”. (Al-Maidah : 3 )


Secara mudah kita sebutkan, sesuatu benda yang sudah sempurna dan lengkap, maka tidak perlulah untuk ditokok tambah lagi. Tidak perlulah untuk diubah suai dan mengambil peraturan lain dengan alasan menyempurnakan Islam. Islam sudah sempurna. Namun menjadi persoalan, kenapakah masih ada golongan yang mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam segenap urusan mereka?. Adakah Islam tidak sempurna?. Undang-undang Islam tidak mahu digunakan, lantas mengambil undang-undang Barat yang kononnya lebih adil dan menjaga hak asasi manusia. Tidakkah kita menginsafi akan firman Allah s.w.t. :

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima agama itu daripadanya dan kelak dia diakhirat akan termasuk dikalangan orang-orang yang rugi”. ( Ali-Imran : 85 )


Islam tidaklah sempit sehingga tidak ada jalan keluar bagi sesuatu perkara-perkara baru yang tidak pernah wujud dizaman Rasulullah s.a.w. apabila menganggap Islam itu sempit, akan menyebabkan kita tertipu lantas mengambil jalan keluar yang lari dari Islam. Islam mampu untuk menyelesaikan semua perkara semasa yang berlaku dengan perantaraan lapangan ijtihad yang sahih. Ijtihad yang berpandukan usul-usul Islam serta pelbagai pandangan turathi ulama’-ulama’ terdahulu yang melaut luasnya. Sudah pasti ada jalan keluar apabila berpandukan Islam!!. Yakin dan thabatlah!!. akan bersambung...






Thursday 29 July 2010

Tafsir Surah Al Fatihah vol 2


الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Kewajiban untuk berharap kepada Allah

Di dalam ayat ‘ar-Rahman ar-Rahim’ terkandung roja’/pengharapan manusia kepada Allah subhanahu wa taala Ini kerana, apabila manusia yakin dan percaya akan sifat Allah yang maha Pemurah lagi Maha Penyayang, maka sudah pasti seluruh pengharapan masalah, rezeki dan kehidupan dunia ini diadukan kepada Allah subhanahu wa taala Manusia tidak risaukan untung rugi mereka didunia kerana Allah sudah semestinya tidak akan mensia-siakan golongan yang berjuang dijalan Allah. Harapan merupakan energi yang akan memacu seorang insan. Dengan masih adanya harapan di dalam dirinya, maka ia akan bergerak dan melangkah, berjuang dan berkorban. Dia akan berdoa dan terus berdoa kepada Rabbnya yang mempunyai sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hambanya. Demikianlah karakter hamba-hamba pilihan. Allah ta’ala berfirman,

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَى رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا

Maksudnya : “Mereka itu mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah; siapakah di antara mereka yang lebih dekat dengan-Nya, mereka mengharapkan rahmat-Nya dan merasa takut dari siksa-Nya. Sesungguhnya siksa Rabbmu harus senantiasa ditakuti.” (al-Israa’: 57)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلَا يَقُلْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ وَلَكِنْ لِيَعْزِمْ الْمَسْأَلَةَ وَلْيُعَظِّمْ الرَّغْبَةَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَتَعَاظَمُهُ شَيْءٌ أَعْطَاهُ

Maksudnya : “Apabila salah seorang di antara kalian berdoa maka janganlah dia mengatakan, ‘Ya Allah, ampunilah aku jika Kamu mahu tetapi hendaknya dia bersungguh-sungguh dalam memintanya dan memperbesar harapan, sebab Allah tidak merasa berat terhadap apa pun yang akan diberikan oleh-Nya.” (HR. Muslim dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu).

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ لَمْ يَسْأَلْ اللَّهَ يَغْضَبْ عَلَيْه

Maksudnya : “Barangsiapa yang tidak meminta kepada Allah, maka Allah akan murka kepadanya.” (HR. Tirmidzi dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu)

Harapan bukanlah angan-angan kosong, namun ia merupakan perbuatan hati yang mendorong pemiliknya untuk berusaha dan bersungguh-sungguh dalam mencapai keinginannya. Kerana harapan itulah maka dia tetap tegar di atas keimanan, rela untuk meninggalkan apa yang disukainya demi mendapatkan keredhaan Allah, dan dia akan rela mengerahkan segala daya dan kekuatannya di jalan Allah ta’ala. Allah ta’ala berfirman,

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَةَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Baqarah: 218)

Oleh itu, bagi mereka-mereka yang memperjuangkan jalan Allah dan hukum hakam Allah subhanahu wa taala hendaklah sentiasa mengharapkan seluruhnya kepada Allah Taala. Berjuang tidak menjanjikan kemenangan, akan tetapi syarat kemenangan perlulah berjuang.

Wednesday 28 July 2010

Tafsir Surah Al Fatihah


Surah al-Fatihah menyimpan banyak pelajaran berharga. Surah yang hanya terdiri dari tujuh ayat ini telah merangkum berbagai prinsip dan pedoman dalam ajaran Islam. Sebuah surah yang harus dibaca setiap kali mengerjakan solat. Di dalam surah ini, Allah ta’ala memperkenalkan diri-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Di dalamnya, Allah mengajarkan kepada mereka tugas hidup mereka di dunia. Di dalamnya, Allah mengajarkan kepada mereka untuk bergantung dan berharap kepada-Nya, cinta dan takut kepada-Nya. Di dalamnya, Allah menunjukkan kepada mereka jalan yang akan mengantarkan mereka menuju kebahagiaan.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Faedah Pertama: Kewajiban untuk mencintai Allah

Di dalam ayat ‘Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin’ terkandung al-Mahabbah/kecintaan. Para alim ulama menjelaskan, “Di dalam ayat tersebut terkandung kecintaan, sebab Allah adalah Yang memberikan nikmat. Allah s.w.t yang memberikan nikmat itu wajib dicintai. Segala puji dan syukur hanya pada Allah. Bukan manusia.

Sebagaimana kita ketahui bahwa kecintaan merupakan penggerak utama ibadah kepada Allah ta’ala. Kerana cintalah seorang hamba akan menundukkan diri dan mentaati perintah dan larangan Allah ta’ala. Sebaliknya, kerana sedikit dan lemahnya kecintaan maka ketundukan dan ketaatan seorang hamba kepada Rabbnya pun akan semakin menipis. Allah ta’ala berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ

Maksudnya : (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. dan kalaulah orang-orang Yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, Bahawa Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu). Al-Baqarah : 165

Satu persoalan, kenapakah di Negara kita sekarang Islam tidak bangun dan tidak ditegakkan? Ini menunjukkan mereka tidak mempunyai kecintaan kpd Allah. Kalaulah ada kecintaan terhadap Allah, nescaya mereka akan mendahulukan hak Allah dan syariatnya. Maka apabila membelakangkan Allah s.w.t, tunggulah azab dan bala daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka). At-Taubah : 24

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya :Ada tiga perkara, barangsiapa yang memilikinya maka dia akan mendapatkan manisnya iman. iaitu apabila Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya daripa selain keduanya. Apabila dia mencintai orang tidak lain kerana kecintaannya kepada Allah. Dan dia membenci kembali ke dalam kekafiran sebagaimana orang yang tidak suka untuk dilemparkan ke dalam neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik radhiyallahu’anhu)

Oleh itu, pemilihan yang tepat didalam memilih pemerintah dan sahabat yang baik adalah menjadi tanggungjawab kepada kita selaku orang yang cintakan Allah s.w.t dan juga RasulNya s.a.w. Ia adalah sebagai salah satu tanda kita bersyukur kepada Allah s.w.t.

Allah ta’ala berfirman,

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا

Maksudnya : Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang Yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku (di dunia dahulu) mengambil jalan Yang benar bersama-sama Rasul?"Wahai celakanya aku, Alangkah baiknya kalau Aku tidak mengambil si Dia itu menjadi sahabat karib!"Sesungguhnya Dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaKu. dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan Dia sahabat karibnya)". Al-Furqan : 27-29)

Related Posts with Thumbnails