ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN
Era akhir zaman kini menyaksikan Islam menjadi satu perbincangan dan topik hangat yang ingin disentuh oleh semua lapisan masyarakat samada golongan tua mahupun muda, muslim mahupun non-muslim, samada perbincangan yang memuliakan dan meninggikan Islam ataupun perbincangan untuk menjatuhkan dan memburuk-burukkan agama Islam. Senario ini jelas menjadi satu cabaran kepada pendokong dan mata rantai perjuangan Islam, untuk memurnikan kembali keadaan dan mencerahkan kembali kegelapan yang timbul natijah daripada pelbagai salah faham dan momokan fitnah yang dilemparkan terhadap Islam. Amat benarlah sabda Rasulullah s.a.w. :
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya : “Hampir tiba di satu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Salah seorang sahabat bertanya, “ Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?”. Nabi menjawab, “ Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali tetapi kamu seumpama buih di waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahn”. Seorang sahabat bertanya: “ Apakah wahn itu wahai Rasulullah?”. Nabi menjawab : “ Cinta pada dunia dan takut pula untuk mati”. (H.R. Abu Daud)
Ya. Kelemahan umat Islam adalah faktor utama Islam semakin ditindas. Lihat sahaja di negara kita Malaysia. Sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin yang beragama Islam, namun masa depan Islam sejak kita merdeka hingga sekarang, makin malap sinarnya. 53 tahun kita merdeka sudah cukup lama untuk mereka menjulang Islam sekiranya ada gerak usaha dan benar-benar serius untuk membangunkan Islam. Namun, keadaan umat Islam Malaysia kini semakin merisaukan dengan gejala-gejala yang merosakkan akidah, hiburan yang melampau, arak dan zina yang amat membimbangkan serta seribu satu warna-warna kotor yang menconteng lakaran Islam yang indah dan suci. Ya Allah…
ISLAM YANG DIIMPIKAN OLEH PENJILAT SEKULAR
Penjilat-penjilat sekular sememangnya menginginkan Islam itu hanya sekadar ISLAM WARISAN. Seorang muslim yang lahir dari ibu bapanya yang muslim, lantas namanya adalah melambangkan seorang muslim, namun tiada langsung didalam diri dan kehidupannya kesedaran beragama Islam serta kewajipannya sebagai seorang muslim. Sememangnya serangan pemikiran sekular telah meresap kedalam benak hati umat islam kini. Mereka telah berjaya dan menang dalam pertempuran ini. Walaupun ramai yang beragama Islam, akan tetapi cara hidupnya adalah seperti bukan Islam bahkan lebih teruk dari itu.
Para penjilat sekular juga mengimpikan Islam itu hanyalah terbatas sekadar di masjid-masjid dan tidak lebih dari itu. Apabila di masjid, masing-masing membuat hal masing-masing dengan Allah, dengan ibadah solat dan doa akan tetapi tiada langsung memikirkan masalah umat Islam sejagat. Gerak geri didalam solat sudah menggambarkan Islam, namun amat sedih tindak tanduk dan cara fikirnya apabila keluar daripada masjid menyimpang dan menidakkan ajaran Islam. Sekali lagi musuh Islam menang besar dalam medan pertempuran ini.
Bukan ini Islam yang diimpikan. Islam yang sebenar membawa rahmat dan berkat. Islam yang mengundang kasih sayang dan pengampunan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN
Syeikhul Islam Doktor Yusuf Al-Qardawi menyebutkan, “ Islam yang kita perjuangkan adalah Islam yang suci dan bersih, yang tidak ditokok tambah keatasnya, tidak pula dikurangi daripadanya, tidak diputarbelitkan Islam itu serta Islam yang tidak tersasar dari pertimbangannya”. Inilah empat asas utama Islam tulen yang perlu diperjuangkan dan diamalkan oleh semua muslim.
Asas yang pertama : Islam yang tidak ditokok tambah keatasnya. Islam sudah sempurna dan lengkap didalam menyelesaikan seluruh permasalahan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan urus tadbir manusia daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Firman Allah s.w.t. :
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya : “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agamamu”. (Al-Maidah : 3 )
Secara mudah kita sebutkan, sesuatu benda yang sudah sempurna dan lengkap, maka tidak perlulah untuk ditokok tambah lagi. Tidak perlulah untuk diubah suai dan mengambil peraturan lain dengan alasan menyempurnakan Islam. Islam sudah sempurna. Namun menjadi persoalan, kenapakah masih ada golongan yang mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam segenap urusan mereka?. Adakah Islam tidak sempurna?. Undang-undang Islam tidak mahu digunakan, lantas mengambil undang-undang Barat yang kononnya lebih adil dan menjaga hak asasi manusia. Tidakkah kita menginsafi akan firman Allah s.w.t. :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima agama itu daripadanya dan kelak dia diakhirat akan termasuk dikalangan orang-orang yang rugi”. ( Ali-Imran : 85 )
Islam tidaklah sempit sehingga tidak ada jalan keluar bagi sesuatu perkara-perkara baru yang tidak pernah wujud dizaman Rasulullah s.a.w. apabila menganggap Islam itu sempit, akan menyebabkan kita tertipu lantas mengambil jalan keluar yang lari dari Islam. Islam mampu untuk menyelesaikan semua perkara semasa yang berlaku dengan perantaraan lapangan ijtihad yang sahih. Ijtihad yang berpandukan usul-usul Islam serta pelbagai pandangan turathi ulama’-ulama’ terdahulu yang melaut luasnya. Sudah pasti ada jalan keluar apabila berpandukan Islam!!. Yakin dan thabatlah!!. akan bersambung...