Friday, 6 August 2010

ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN vol 4 (akhir)


ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN

Asas yang keempat : Islam yang tidak tersasar dari pertimbangannya. Di dalam Islam adanya pertimbangan-pertimbangan yang berbeza mengikut keadaan, masa dan tempat. Ini menjadi bukti benar didalam menyatakan bahawa Islam bersifat murunah, iaitu fleksibel didalam menghadapi apa saja situasi umat. Islam bukan sahaja satu agama yang sesuai pada zaman dahulu, bahkan pada masa akan datang dan sehinggalah ke akhir zaman, ia tetap menyinari alam ini.

Setiap satu amal (pekerjaan) didalam Islam mempunyai kadar dan juga kedudukan yang tertentu yang telah ditentukan oleh syara’. Oleh itu, sebagai seorang muslim hendaklah meletakkan amal-amal tersebut mengikut martabat dan kedudukan yang perlu diutamakan. Ini kerana, supaya kita mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan dan kita mengkemudiankan apa yang sepatutnya dikemudiankan.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، أَنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم خَطَبَ النَّاسَ ، فَقَالَ : إِنَّ الله ، عَزَّ وَجَلَّ ، قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ ، إِنَّ الله عَزَّ وَجَلَّ قد فَرَضَ فَرَائِضَ ، وَسَنَّ سُنَنًا ، وَحَدَّ حُدُودًا ، فَأَحَلَّ حَلاَلاً ، وَحَرَّمَ حَرَامًا ، وَشَرَعَ الإِسْلاَمَ فَجَعَلَهُ سَهْلاً وَاسِعًا ، وَلَمْ يَجْعَلْهُ ضَيِّقًا

Maksudnya : “ Daripada Ibnu Abbas katanya, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan khutbah kepada manusia dengan sabdanya : “ Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla telah memberikan setiap sesuatu mempunyai haknya yang tersendiri, sesungguhnya Dia telah memfardhukan yang fardhu, Dia jugalah yang menggalakkan perkara-perkara sunat, menetapkan batasan had sesuatu, menghalalkan yang halal, mengharamkan yang haram dan telah mensyariatkan Islam dan menjadikan Islam itu mudah dan luas dan tidak pula Allah menjadikannya sempit”. ( H.R. Abu Ya’la )


Inilah Islam yang kita dokongi. Islam yang sentiasa meletakkan keutamaan didalam lapangan amal. Sebagai contoh, disana ada amal yang harus, sunat dan wajib. Maka, seharusnya bagi muslim untuk mendahulukan serta menyempurnakan perkara wajib sebelum perkara-perkara yang lain. Di dalam perkara wajib juga ada martabatnya. Ada yang fardhu ain dan ada yang fardhu kifayah. Maka keutamaan amal perlu diberikan kepada perkara fardhu ain.

Seperti itu juga dalam perkara mungkar dan dosa. Ada yang kecil dan ada yang besar. Maka dosa yang besar terlebih utama untuk kita jauhi dan mencegahnya daripada yang lain. Sebab itu gerakan-gerakan Islam memfokuskan kepada pencegahan al-munkar al-akbar iaitu menghapuskan pemikiran jahiliah didalam pemikiran manusia dan perbuatan mereka. Nasionalisme. sekularisme, liberalism dan pemikiran-pemikiran jahiliah yang lain adalah terlebih utama untuk dihapuskan. Oleh kerana itu juga kita tidak boleh berbalah dalam perkara-perkara yang khilaf dan furu’ kerana perkara tersebut akan menghilangkan fokus kepada yang lebih utama.

Lihat sahaja perjuangan Rasulullah s.a.w. pada ketika Baginda di Mekah. Selama 13 tahun disana, Rasulullah s.a.w. memfokuskan kepada penyucian akidah, pencerahan iman kepada tuhan yang esa iaitu Allah Taala, supaya mereka tunduk dan patuh kepada hukum dan ketetapan Allah s.w.t. Begitu juga zaman sekarang, Jahiliah Moden telah menyerang umat Islam. Ayuh kita memikul tugas dan amanah hebat tinggalan Rasulullah s.a.w. dalam menghapuskan jahiliah ini.

Wednesday, 4 August 2010

ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN vol 3

ISLAM YANG KITA PERJUANGKAN

Asas yang ketiga : Islam yang tidak diputarbelit dan tidak disalah ertikan. Musuh Islam berbondong-bondong menyebarkan Islam dengan kefahaman yang salah dan menyimpang dari kefahaman yang sebenar dan tulen. Bahkan dikalangan umat Islam sendiri ada dikalangan mereka yang tersalah didalam memahami Islam secara jelas dan sahih.

Sebagai contoh, pemahaman salah berkaitan dengan pengertian dan kehendak sebenar zuhud. Sebahagian orang Islam tersalah tanggapan mereka berkenaan apakah yang dimaksudkan dengan zuhud. Mereka menganggap zuhud itu adalah meninggalkan dunia dan hanya semata-mata akhirat menjadi tumpuan. Ya, Islam menitikberatkan persoalan akhirat dan akhirat adalah tempat yang paling utama didalam meraih keredhaan Allah s.w.t. Akan tetapi, tanpa dunia, bagaimanakah kita akan sampai keakhirat? Dunialah menjadi tempat kita menyuburkan segala modal dan menggandakan usaha agar meraih keuntungan besar diakhirat kelak. Para ulama’ menyebutkan :

الدنيا مزرعة الآخرة

Maksudnya : “Dunia itu ialah tempat bercucuk tanam bagi syurga (untuk mendapat hasil diakhirat)

Allah s.w.t. juga berfirman :

هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya : “ Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya” ( Huud : 61 )

Jelas kepada kita, zuhud yang sebenar adalah kita mengimarahkan dunia akan tetapi tidaklah sampai ketahap dunia menguasai kita. Seolah-olah kita memiliki dunia itu, namun dunia sama sekali tidak mampu memiliki diri kita. Pemahaman yang sahih ini sudah pasti akan mencergaskan seseorang muslim didalam memperbaiki dirinya dalam urusan keduniaan dan dalam masa yang sama sentiasa hazar dan mendidik jiwa agar tidak menjadi hamba dunia.

Ini hanyalah salah satu contoh pemahaman yang acap kali disalah tafsirkan oleh muslim sendiri. Menjadi kegerunan kepada kita tatkala wujudnya diluar sana 1001 macam pemahaman-pemahaman yang menyimpang dari maksud sebenar yang dikehendaki oleh Islam. Akibat buruk daripada fenomena ini sudah pasti akan terkena pada Islam itu sendiri.

Sebagai contoh yang lain adalah berkaitan salah tanggapan manusia zaman moden sekarang yang kononnya cerdik dan pintar akalnya terhadap intipati dan maksud sebenar yang dikehendaki Islam mengenai hudud, qisas, ta’zir dan seumpamanya. Ramai yang salah anggap lalu menghukumkan ia adalah satu hukuman yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. La haula wala quwwata illa billah… Virus ini sudah merebak di Malaysia dan menjadi bahan momokan pula oleh sebahagian pihak. Mereka yang tidak bertanggungjawab ini meracuni pula golongan non-muslim agar mereka tidak menerima sama sekali hukuman-hukuman yang Allah tetapkan itu.

Secara kesimpulannya, pemahaman Islam yang sebenar hendaklah ditugaskan kepada ahlinya yang layak dan berintergriti didalam menggambarkan sesuatu perkara berkenaan Islam. Golongan yang tidak selayaknya janganlah memandai-mandai meletakkan kefahaman yang berasaskan hawa nafsu semata-mata tanpa panduan ilmu dan iman. Apabila kita serahkan urusan kepada bukan ahlinya, maka rosaklah ia sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya : “Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya (yang layak) maka nantikanlah saat kehancuran” ( H.R. Bukhari)

Tuesday, 3 August 2010

Tafsir Surah Al-Fatihah vol 4

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Faedah Keempat: Kewajiban untuk mentauhidkan Allah

Di dalam ayat ‘Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in’ terkandung ajaran untuk mentauhidkan Allah ta’ala. Maknanya adalah: “Kami mengkhususkan ibadah dan memohon bantuan hanya untuk-Mu”. Inilah hakikat ajaran Islam iaitu mempersembahkan segala bentuk ibadah hanya semata kerana Allah . Kerana tujuan itulah Allah menciptakan jin dan manusia. Untuk mendakwahkan manusia menjadi hamba Allah, maka telah diutus para nabi dan rasul kepada umat manusia. Dengan ibadah yang ikhlas, seorang hamba akan memperoleh takwa dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi-Nya. Allah ta’ala berfirman,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya : “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (adz-Dzariyat: 56)

Allah ta’ala berfirman :

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Maksudnya : “Tidaklah Kami mengutus sebelum kamu seorang rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya bahwa tidak ada tuhan yang layak disembah selain Aku, maka sembahlah Aku saja.” (al-Anbiya’: 25)

Allah ta’ala berfirman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “Hai umat manusia, sembahlah Tuhan kalian, iaitu yang telah menciptakan kalian dan orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian menjadi bertakwa.” (al-Baqarah: 21)

Para ulama’ mengatakan berdasarkan ayat ini, apabila ingin meminta doa dan bantuan daripada Allah subhanahu wa taala maka, hendaklah didahulukan dengan ibadah dan penyerahan diri kepada Allah subhanahu wa taala. Bagaimana kita boleh meminta rahmat dan bantuan Allah subhanahu wa taala sedangkan kita enggan menjadi hambanya?.

Maka barangsiapa yang menujukan salah satu bentuk ibadah kepada selain Allah sungguh dia telah terjerumus dalam kemusyrikan. Seluruh gerak geri dan hidup kita dimuka bumi ini adalah menjadi ibadah kepada Allah subhanahu wa taala Ibadah bukan hanya solat, puasa, haji, dan sedekah. Akan tetapi ia lebih luas dari itu. Ibadah mencakupi pegangan yang sahih, iktikad dan persoalan hati, siasah dan urus tadbir manusia serta seluruh pergerakan hidup ini hendaklah ditunjangkan hanya semata-mata ibadah kepada Allah Taala. Apabila membuat maksiat kepada Allah, maka bagaimana Allah akan menerima doa dan permintaan kita? Sabda Nabi s.a.w :

إن الله تعالى طيب لا يقبل إلا طيبا وإن الله أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين فقال تعالى { يا أيها الرسل كلوا من الطيبات واعملوا صالحا } وقال تعالى { يا أيها الذين آمنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم } ثم ذكر الرجل يطيل السفر أشعث أغبر يمد يديه إلى السماء : يا رب يا رب ومطعمه حرام وملبسه حرام وغذي بالحرام فأنى يستجاب له

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah Taala itu baik dan elok, dan Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik serta elok. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang telah diperintahkan kepada para rasul-rasulnya. Firman Allah : Wahai para rasul!! Makanlah daripada makanan-makanan yang baik serta bebuatlah amalan yang soleh. Dan juga Firman Allah : Wahai orang-orang yang beriman!! Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang telah Kami kurniakan kepada kamu. Kemudiannya Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang jauh permusafirannya, menyebabkan rambutnya kusut dan berdebu tubuh badannya, dia menadah tangannya ke langit (berdoa) seraya berkata: Ya Rabb. Ya Rabb. Sedangkan makanannya haram, pakaiannya haram dan pemakanannya haram. Bagaimanakah akan dimakbulkan doanya??” (HR. Imam Muslim daripada Abu Hurairah)

Sedangkan hanya kerana pemakanan yang haram, menjadi salah satu sebab ditolak doanya,maka bagaimana pula dengan perbuatan haram yang lain yang jauh lebih besar dari soal makan dan minum?. Contohnya perbuatan zalim menindas rakyat, menidakkan hukum Allah, memuja hukum hakam Barat, tidakkah itu jauh lebih besar maksiatnya?. Maka bagaimana kita hendak mendapat kurnia rahmat Allah jika kita banyak melakukan maksiat?. Tepuk dada tanya dan muhasabahlah iman.

Selain itu terkandung di dalam potongan ayat ‘wa iyyaka nasta’in’ kewajipan kita bertawakkal kepada Allah subhanahu wa taala Ini kerana kita meyakini bahwa tidak ada yang menguasai kemanfaatan dan kemadharatan kecuali Allah, tidak ada yang mengatur segala sesuatu kecuali Dia, maka semestinya kita pun bergantung dan berharap hanya kepada-Nya. Kita tidak boleh meminta pertolongan dalam perkara-perkara yang hanya dikuasai oleh Allah kepada selain-Nya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berpesan kepada Ibnu Abbas radhiyallahu’anhuma :

يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

Maksudnya : “Hai anak muda, aku akan mengajarkan beberapa kalimat kepadamu. Jagalah Allah, niscaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, niscaya kamu akan menemukan-Nya di hadapanmu. Apabila kamu meminta maka mintalah kepada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah. Ketauhilah, seandainya seluruh manusia bersatu padu untuk memberikan suatu manfaat kepadamu maka mereka tidak akan memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sebatas apa yang Allah tetapkan untukmu. Dan seandainya mereka bersatu padu untuk memudharatkan dirimu dengan sesuatu maka mereka tidak akan bisa menimpakan mudharat itu kecuali sebatas apa yang Allah tetapkan menimpamu. Pena telah diangkat dan lembaran takdir telah mengering.” (HR. Tirmidzi)

Bertawakkal bukan bermaksud kita terus meninggalkan jalan usaha kearah mencapai maksud. Kita dituntut di dalam Islam agar mengambil sunnatullah dan sebab-sebab yang akan membawa kepada tercapainya sesuatu perkara. Setelah berusaha, barulah kita menyerahkan segalanya kepada Allah Taala kerana perancangan dan ketetapan Allah lebih berhikmah dan telah ditetapkan.

Sebagai muhasabah bersama, kita inginkan Islam tertegak akan tetapi dimanakah usaha dan daya yang kita habiskan semata-mata untuk Islam?. Adakah kita hanya berserah kepada takdir dan ketentuan Allah Taala yang akan memberikan kemenangan kepada Islam suatu hari nanti?. Itu bukan cara kita. Hanya menanti berpeluk tubuh lantas mendakwa itulah kemenangan bersama. Berusahalah menuntut kedaulatan Islam dan gigih sedaya upaya mengisi kemenangan Islam.


Related Posts with Thumbnails