Friday, 23 July 2010

لو كان بيننا الحبيب


1. Melihat satu realiti TV yang bertajuk لو كان بيننا الحبيب yang ditunjukkan oleh sahabatku Ustaz Adlan, benar-benar menarik hati dan perasaanku untuk terus dan terus mengulangi dan menghayati rancangan tersebut. Rancangan yang memaparkan realiti ummat Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dizaman moden ini dan apakah yang akan berlaku sekiranya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersama-sama dengan kita sekarang dan berada di depan mata kita.

2. Tangisan seorang wanita muda yang kasihkan Rasulnya benar-benar menyayat hati dan mengusik jiwa bagi sesiapa yang pertama kali melihatnya. Maha Suci Allah yang menjadikan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam didalam hati-hati hambaNya sehingga sedemikian rupa. Sememangnya, kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam adalah menjadi satu daripada syarat akan kesempurnaan iman kita terhadap Allah s.w.t. Sabda Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam:

عن أنس عن النبي {صلى الله عليه وسلم} قال لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Maksudnya : Daripada Saidina Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu, Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda ; "Tidak akan sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia lebih mengasihi diriku daripada ibu bapanya, anak-anaknya dan seluruh manusia yang lain".

3. Kita seringkali mendengar saranan dan nasihat supaya mencintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, namun bagaimanakah kecintaan yang sejati dan terlebih utama? Adakah cinta yang diinginkan hanya sekadar mengingati dan mendalami setiap sudut batang tubuh Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam?. Adakah kita mampu menceritakan perihal sejarah dan kisah-kisah yang Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam lalui dan sudah cukup itu sebagai tana kecintaan yang paling utama?. Ya. Itu juga adalah salah satu bentuk kecintaan kita kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi yang terlebih utama adalah kita menjadi pendokong dan pejuang kepada risalah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang dibawa oleh Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam. Maka itulah tahap kecintaan kita yang paling agung dan hebat disisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perjuangan wahai sahabat2. Sayangkan Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, maka berjuanglah membantu menyebarkan risalah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.

4. Malah, para nabi dan juga rasul solawatullahi 'alaihim ajma'iin terdahulu juga turut mengikat janji setia dengan Allah subhanahu wa ta'ala supaya menjadi pejuang kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam dan risalahnya. Firman Allah Subhanahu wa ta'ala :

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِين

Maksudnya : “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan hikmat Yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul Yang mengesahkan apa Yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadaNya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiKu secara Yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu." Surah Ali Imran : 81

5. Telah berkata Syeikh Sa’id Hawwa didalam muqaddimah kitabnya “ Al-Asaasu fi As-Sunnah”, berkenaan sifat-sifat dan khususiyyat yang ada pada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, “ Kalimah Muhammad didalam bahasa Arab membawa erti terpujinya Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam di dunia dan di akhirat, terpuji pada pemikiran dan kepimpinan, pada siasah dan ketenteraan, pada amalan dunia mahupun amalan akhirat, pada ketika Baginda bersendiri dan ketika bergaul dengan yang lain, pada ketika berdebat mempertahankan hak dan mendekatkan manusia kepada Islam, pada ketika mengambil hati dan ketika memberikan pendidikan kepada orang lain…”.

6. Jelas kepada kita, kesempurnaan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bukan sahaja pada batang tubuh Baginda, akan tetapi merangkumi seluruhnya. Sekiranya kecintaan kita hanya pada juzuk kecil kesempurnaan tersebut, maka amat sedikitlah kesan kepada manusia yang lain. Akan tetapi, kecintaan kepada Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dengan membawa perjuangan Baginda dalam aspek kehidupan, maka kesannya lebih meluas dan dapat dirasai oleh manusia yang lain akan kehebatan dan keagungan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam.

7. Ya Rasulallah!! Saksikanlah kecintaan umatmu yang sanggup bergadai harta dan nyawa, menumpahkan darah dan menggasak tenaga hanya semata-mata mencintaimu ya Rasulallah!!

لو كان بيننا الحبيب لدنى القاصي والقريب

من طيبة قبل المغيب طالبا قرب الحبيب

بقربه النفس تطيب ولتدعو الله فيجيب

أنوار طه لا تغيب بلغنا لقاه يامجيب

فدتك روحي ياحبيب محمد مكرمَ الغريب

بقربك الروح تطيب يارحمة للعالمين

Sekadar Merenung Sejenak


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur dipanjatkan kehadrat Allah S.w.t Tuhan yang mentadbir dan menguasai seluruh alam ini. Selawat dan Salam buat junjungan agung Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa menyampaikan dakwah dan risalah Allah di dalam kehidupan Baginda, serta buat ahli keluarga Baginda, para sahabat, para Tabi'in serta mereka-mereka yang mengikut jalan menuju ke arah Allah s.w.t.

1. Alhamdulillah, alfaqir memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah s.w.t kerana masih lagi diberikan nikmat untuk berada di bumi Mesir yan bertuah ini. Muhasabah buat alfaqir, masih banyak lagi kekurangan yang alfaqir rasakan. Manakan tidaknya, semakin hari meniti dunia era kemodenan duniawi ini, banyak perkara-perkara baru yang benar-benar mencabar para penuntut ilmu untuk mem'bumi'kan ilmu mereka. Setiap hari sahabat2 alfaqir pasti akan berborak mengenai isu semasa seantero dunia, membuatkan alfaqir terfikir bersendirian. Kalau alfaqir berhadapan dengan perkara tersebut, apakah tindakan yang akan alfaqir buat?.. apakah yang akan alfaqir hukumkan?.. Ya Allah..

2. Sungguh laju arus peredaran dunia, namun sangat lambat untuk alfaqir menongkahnya. Kini alfaqir sudah bergelar mahasiswa islam, namun alfaqir sepatutnya menyumbangkan yang terbaik buat Islam. Lihat sahaja Sultan Muhammad Al-Fatih yang mengepalai tenteranya didalam membuka Kota Constantinople. Beliau yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai pegawai turus tentera yang terbaik dan para perajuritnya adalah perajurit yang terhebat.

قال النبي صلى الله عليه وسلم : لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

Pada ketika itu, umurnya hanyalah menjangkau 21 tahun sahaja. Alangkah hebat sumbangannya untuk Islam dalam usia semuda itu..Ya Allah..

3. Alfaqir banyak lagi kena belajar. Samada dari para masyaikh mahupun para sahabat alfaqir sendiri. Moga alfaqir sentiasa diberkati Allah Taala.

coretan ringkas,
Mohd Azrul bin Ismail
Related Posts with Thumbnails